Thursday, August 18, 2011

Kadangkala perempuan mahu meluahkan kesakitan...

Posted by Er Nea at Thursday, August 18, 2011




Senyum.
Kadangkala dia datang dalam keadaan yang cukup tabah walaupun mungkin dia adalah insan yang menangis sehingga tertidur. Dia dengan penuh kuat menyatakan tiada apa-apa yang berlaku dan terus hidup dengan ketawa besar walaupun sebenarnya, dia bijak dalam melakonkan watak menutup kesakitan diri. Itu semua cerita dia, dia yang bukan sesiapa di atas dunia.

Dia manusia yang sering ketawa riang.
Dia manusia yang percaya, setiap manusia lain yang muncul dalam hidupnya, hadir dengan pelbagai alasan, sama ada baik ataupun buruk. Mereka yang hadir membentuk, menjalin hubungan atau apa sahaja, termasuk berpisah dan putus kawan dengan dia. Kerana akhirnya, akibat manusia sedemikian rupa, dia menjadi siapa dia sebenarnya hari ini. Dia yang lebih percayakan diri sendiri, bukan manusia lain yang mungkin mengintai peluang, menyorak supaya dia bunuh diri dan mati.

Acapkali orang merasakan dengan berbual, menulis dan bercerita dengan dia, orang itu sudah mengenali keseluruhannya tentang dia. Malangnya, disebalik ketawa mesra, perbualan ceria, mungkinkah tersimpan sejuta satu rahsia yang tidak dapat diluahkan kepada sesiapa? Dia sendiri menyedari, kesakitan yang terhimpun dalam diri adalah dosa silam yang tidak dapat dinyatakan kepada sesiapa. Merenung ke arah cermin, membuatkan dia jijik dengan apa yang dilalui.

Kadangkala dia terjaga dan tidak mengenali siapa dirinya sendiri. Terpinga-pinga membaca apa itu realiti dan menolak kewujudan diri secara senyap dan sunyi. 

Seseorang pernah menyatakan kepada dia, anak baik, anak yang tabah akan sentiasa diuji walaupun dia menyedari, kesakitan yang ditanggung sendirian adalah disebabkan metamorfosis diri yang belum lengkap lagi. Metamorfosis adalah sesuatu yang mustahil akan berlaku pada dia selagi kaki dia terikat di dalam kepompong. 

Manusia boleh ketawa, dia silakan.
Manusia boleh menghina, sila mulakan.
Manusia boleh berbuat apa sahaja, dia relakan.

Kerana metamorfosis dia tidak akan bermula. Senyap dan sunyi dunia dia. Dia bina dunia dia sendiri, mengikut acuan yang dia mahukan, dengan rangkaian yang dia senangi dalam usaha membina keluarga kecil yang mengerti kemahuan diri. Diam dia bukan bermakna dia memberikan kebebasan buat manusia lain menginjak diri, tetapi lebih kepada dia enggan meletakkan diri sehina yang melemparkan kata-kata nista sedangkan diri tidak mengerti.
Sesetengah orang betul-betul wujud. Sesetengah orang adalah baik. Tetapi, dia tidak menolak, sesetengah orang adalah palsu. Atau lebih tepat lagi, sesetengah orang adalah bijak dalam berpura-pura. Demi mengelakkan terjebak dengan manusia sedemikian rupa, dia bertindak mengasingkan diri dan keluar hanya bila ada manusia yang mengetuk perlahan tingkapnya. Menjengukkan wajah dan meneliti apa dimahukan mereka sebelum memberikan apa yang diminta. Aneh, dia jadi tabah lebih dari dahulunya.

Usap rambut sendiri.
Dia sebenarnya terharu dengan diri sendiri.
Berbaur bangga sebenarnya apabila hati yang pernah disakiti, dilukai, dikhinati, ditikam, dibakar, dicederakan - masih lagi berfungsi dan bernyawa megah bagi meneruskan kelangsungan hidup yang dia sendiri tidak mengerti. Hakikatnya, derita sebuah diri dan kesabaran sebuah hati sudah menjadi tepu walaupun dia seperti memperlekehkan sekeping hati. Kuatnya, utuhnya bagaikan dia sahaja yang punya diri.

Kehidupan terlampau singkat. Menitinya tanpa henti dengan menerima dan memberi kasih sayang, membuang segala kemarahan, menghadapi segala ketakutan dan menghargai segala kenangan indah - menjadikan dia lebih manusia daripada sekadar insan biasa.

Diam.
Dia sedar yang dia telah melalui terlampau banyak perkara dalam hidup. Mungkin ada yang menebak, sekadar pernah terjatuh dan bangkit sendiri, mana ada sepayah benda lain yang ternyata lebih menyusahkan dan membawa sengsara. Tapi anak itu, dia sendiri tahu apa yang dia lalui dan bagaimana dia bangun demi membuktikan nyawa itu mahal harganya, hati itu sesuatu yang tidak boleh dibeli walaupun kekayaan ditabur berjuta.

Cermin.
Pantulan diri sendiri.
Bayangan yang dia benci.
Biasan yang dia sayangi.
Itu semuanya adalah diri yang pernah disayangi, dikhianati cuba bangkit kembali.
Ternyata dia menang dalam berdiri.
Berdiri dan kuat dengan hati.

Diam.
Dalam diam, dalam senyuman, dia tahu dan perhatikan dia sedang dikhianati lagi. Betapa susah dia mahu menjadi anak tabah, sahabat baik, dia sedar, dan mengerti, manusia akan sentiasa menyakiti walaupun hakikat sebenar tidak pernah dikhabarkan kepada sesiapa. Dia membakar segala keyakinan dia ke dalam ruang hati paling dalam, membaling abu kesakitan ke lautan seluas mata memandang supaya tidak ada satu yang akan kembali kepada dia. 

Di tubuh itu, luka dan parut sudah saling bertingkah mahu hilang secepat mungkin walaupun kedua-duanya tidak menyedari, yang lebih sakit sebenarnya adalah segumpal darah merah bernama hati.

Alunan bacaan ayat suci.
Senyap dan sunyi dunianya dihiasi bunyi.
Bacaan penuh perasaan daripada sumber terdekat yang dia tahu tidak perlu dicari.
Menusuk ke dalam jiwanya yang tidak dapat membezakan apa itu sunyi.
Apa itu sepi.
Dia sendiri tidak mengerti.
Yang dia tahu, dia percaya akan diri.

Kelibat seseorang yang dia mahu lupakan tiba-tiba muncul dan membuatkan dia berperang dengan diri sendiri. Apakah mahu menegur dan bertanyakan sesuatu demi memudahkan suatu urusan yang belum ditemui jalan penyelesaian secara peribadi? Sekadar berbahasa basi, dia menuturkan satu demi satu ayat dengan hiasan ketawa yang dia kulum sambil ketap lidah dan senyum nampak gigi. Betapa dia takut, segumpal darah bernama hati sedang dihiris perlahan menggunakan belati. Aneh, dia masih mampu senyum lagi.

Dia : Saya mahu tanya sesuatu boleh?
Insan : Tanya apa?
Dia : Lebih kepada pendapat.
Insan : Silakan.
Dia : Kalau ada orang yang mengkhianati awak, apa awak akan buat?
Insan : Apakah?
Dia : Apakah awak akan kekal berhubung dengan orang sebegitu?
Insan : Tidak. Saya akan menjauhi orang begitu, tidak akan bertegur lagi dan tidak akan menghiraukan kewujudan orang sedemikian rupa.
Dia : Oh, begitu.
Insan : Kenapa?
Dia : Jadi, kalau saya disakiti, dikhianati dan dilukai sedemikian rupa, maka saya boleh buat begitu kan?
Insan : Ya. Apa yang awak cuba sampaikan?
Dia : Tiada apa-apa. Sekadar perlukan satu pendapat.
Insan : Betul? Tidak ada benda yang mahu disembunyikan?
Dia : Tiada. Sekadar bertanya.

Hari ini, dia sudah temui jawapan.
Jawapan bagi merungkai segala permasalahan diri.
Dia akan menimbus semua kenangan silam dan pandang dengan tegak masa hadapan.
Sebab segalanya sudah tiada erti.

Dia tahu dia tidak perlukan alasan kukuh untuk menghilang kini.
Sebab dia sudah berjanji.
Garis halus mati.

0 comments:

 

pemilikdewahaty Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review